Free Search

Thursday, March 7, 2013

Kaki mencari jasad

Sudah 15 hari Hashim dikebumikan selepas maut dalam satu kemalangan di simpang 3. Namun kesedihan Zaoyah masih belum reda. Kematian suami tersayang membuatkan Zaoyah bagaikan helang kepatahan sayap. Tempat bergantung juga sudah tiada, tempat bermanja jauh sekali.


Zaoyah masih ingat ketika pagi kejadian, dia masih di dapur apabila Hashim memberitahu dia terpaksa ke tempat kerja lebih awal pagi ini. Zaoyah hanya sempat membancuh milo, tetapi sarapan masih terjerang di atas dapur.

"Tunggu sambal tumis masak sekejap bang," ujar Zaoyah sambil menghidangkan nasi lemak yang masih berasap.

"Tak apalah Yah, tengahari nanti abang balik, abang makanlah nasi lemak tu," ujar Hashim. Dia kelihatan begitu tergesa-gesa. Topi keledar dicapainya dan terus disarung ke kepala. Stokin dan kasut dipakai secepat kilat dan Hashim terus menuju ke tempat letak motorsikalnya.

Sebaik sahaja Hashim pergi, Zaoyah menutup semula makanan di atas meja. Rengekan Azril, anak bongsunya segera menarik perhatiannya. Zaoyah mematikan api dapur dan terus ke bilik. Azril sudahpun bangun tetapi tangisannya sangat luar biasa dari hari-hari sebelumnya.

Zaoyah hairan. Dia merasa seluruh tubuh Azril. Tidak pula panas kalau nak dikatakan demam. Zaoyah memujuk Azril sambil menggantikan lampin. Kemudian mendukung anaknya ke dapur. Zaoyah menyuapkan telur rebus ke mulut Azril tetapi anak kecil itu menolak. Zaoyah hairan. Anaknya tidak pernah begitu sebelum ini. Jam sebelas pagi baharulah Azril berhenti menangis. Selepas menyusu Zaoyah menidurkan Azril di dalam biliknya.

Sedang Zaoyah memanaskan lauk di dapur, tiba-tiba perasaannya menjadi tidak enak. Apabila terpandang nasi lemak Hashim di meja, perasaannya menjadi semakin tidak menentu. Deringan telefon membuatkan Zaoyah tersentak. Dia segera menjawab panggilan di ruang tamu.

"Ya Allah...abang..," tiba-tiba Zaoyah menjerit sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan. Hashim terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Pandangan Zaoyah kelam, dia rebah tanpa meletakkan gagang telefon di tempatnya. Mujurlah jeritannya di dengar Pak Busu yang sedang mengayuh basikal melintasi halaman rumah Zaoyah. Pak Busu segera memanggil jiran-jiran wanita untuk membantu Zaoyah. Zaoyah hanya tersedar apabila jenazah Hashim sampai selepas Zuhur di rumahnya.

"Yah, kalau nak tengok muka Hashim buat kali terakhir, tengoklah. Tok dah buka kapan di mukanya," ujar Tok Imam. Zaoyah merenung mayat Hashim yang sudah dimandi dan dikapankan oleh pihak hospital. Bagai tidak terdaya Zaoyah hendak menatap wajah suami tercinta. Terkilan hatinya kerana Hashim tidak sempat menjamah nasi lemak kegemarannya pagi tadi.

Walaupun sudah 2 minggu berlalu, Zaoyah masih menangisi kematian Hashim. Adik-beradik dan sanak saudara sudah pulang ke rumah masing seorang demi seorang. Seperti malam-malam yang lalu, Zaoyah gagal melelapkan matanya. Kenangan dan ingatannya hanya kepada Hashim. Setiap kali rindunya memuncak dia akan membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas, lalu dihadiahkan kepada allahyarham. Hanya itulah ubat yang mampu menenangkan jiwanya. Kalau dia tidur pun, hanya tidur-tidur ayam. Sering dia terjaga di tengah malam dan pasti tidak mampu terlena lagi hingga ke pagi.

Malam itu Zaoyah gagal melelapkan matanya lagi. Walaupun kokok ayam yang pertama sudah kedengaran, matanya tidak mengantuk sedikitpun. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tapak kaki menapak di lantai rumahnya. Zaoyah terkejut. Tak mungkin anak sulungnya Shahril bangun tengah-tengah malam. Shahril tak pernah bangun tengah malam sebelum ini. Zaoyah dapat mendengar bunyi tapak kaki yang mundar mandir ke hulu ke hilir. Tetapi kedengarannya seperti bukan berjalan, tetapi melompat setapak-setapak.

"Kucing agaknya," bisik hati Zaoyah. Dia membiarkan bunyi tapak kaki itu menghilang. Ketika azan Subuh berkumandang. Zaoyah segera bangun dan menunaikan solat Subuh. Ketika remang Subuh mendatang, Zaoyah segera menjerang air dan mengejutkan Shahril untuk ke sekolah. Zaoyah segera mengenepikan perasaan sedihnya jauh-jauh apabila berdepan dengan anak-anak.

"Sekolah pandai-pandai Ril, abah kau dah tak ada. Kaulah ganti abah nak jaga mak bila tua nanti, nak tolong mak besarkan adik," pesan Zaoyah kepada Shahril yang sedang menikmati minum paginya. Shahril segera mengambil beg sekolahnya dan keluar memakai kasut. Belumpun Shahril duduk, dia terpandang bekas tapak kaki di atas papan tangga menuju ke rumah. Kemudian di atas lantai menghala ke dapur dan ke bilik Zaoyah.

"Mak! tapak kaki siapa ni mak?" jerit Shahril. Zaoyah bergegas mendapatkan anaknya. Dia juga hairan melihat bekas tapak kaki berlumpur di atas lantai. Zaoyah segera teringat apa yang didengarnya malam tadi. Mungkinkah ada orang naik ke rumahnya malam tadi. Tapi siapa?

Perasaan Zaoyah jadi tidak menentu. Ini mesti ada orang yang berniat tidak baik terhadapnya. Baru tiga minggu dia menjanda,sudah adakah lelaki yang menaruh hati kepadanya?

Zaoyah segera membersihkan kesan tapak kaki di atas lantai tersebut. Sambil hatinya berdoa, janganlah ada apa-apa musibah yang menimpa dia dengan anak-anak. Malam itu Zaoyah memastikan semua pintu dan tingkap rumahnya berkunci dan bermangga. Kalau ada orang yang nak buat jahat pun, mereka tentu akan mengambil masa untuk membuka pintu dan tingkap rumahnya.

Tetapi malam itu sekali lagi Zaoyah dikejutkan oleh bunyi yang sama. Zaoyah sengaja mengajak Shahril tidur bersama di biliknya. Shahril dan Azril tidur di atas katil sedang Zaoyah tidur di atas tilam yang terhampar di atas lantai. Zaoyah bingkas bangun sebaik sahaja mendengar bunyi tapak kaki tersebut. Dia mengintai dari pintu biliknya, siapa agaknya yang berani naik ke rumahnya. Tetapi alangkah terkejutnya Zaoyah apabila melihat sekerat kaki dari betis ke bawah sedang menapak di atas lantai rumahnya. Zaoyah mengamati kaki tersebut. Dia terkaku melihat kaki tersebut terlompat-lompat mundar mandir di ruang tamu rumah. Tiba-tiba Zaoyah teringat sesuatu.

"Ya Allah, abang Hashim..." bisik Zaoyah apabila mengenali kaki itu adalah milik suaminya. Serentak dengan itu kaki tersebut hilang dari pandangan. Zaoyah bagai bari tersedar dari mimpi. Serentak itu juga tubuh Zaoyah disimbahi peluh dingin dan sejuk. Zaoyah tidak berani hendak keluar dari biliknya. Malah keesokan paginya, dia menunggu sekeliling cerah lebih dahulu baharu dia mengejutkan Shahril. Shahril tidak diberitahu apa yang berlaku. Malah ketika Shahril mengadu tentang tapak kaki tersebut, Zaoyah cuma meminta Shahril supaya tidak mempedulikannya.

Petang itu Tok Imam datang ke rumah Zaoyah. Dia hendak melihat sendiri bekas tapak kaki yang dikatakan oleh Zaoyah. Zaoyah ke rumah Pak Imam untuk meminta pandangan mengenai tapak kaki dan kaki Hashim yang dilihatnya.

"Memang saya nampak kaki dia Tok," ujar Zaoyah sedih. "Apa alamatnya tu Tok?" soalnya lagi. Tok Imam memikir-mikir sebentar.

"Ada yang tak kena ni Yah", ujar Tok Imam. Zaoyah tidak faham apa yang dikatakan oleh Tok Imam. Keesokan harinya, Tok Imam mengajak beberapa orang kampung ke tempat Hashim di tempat kemalangan. Tok Imam sendiri mencari di kawasan kemalangan sambil diperhatikan oleh orang-orang kampung yang lain.

"Subhanallah," tiba-tiba Tok Imam bersuara lantang. Orang-orang kampung segera menghampiri Tok Imam. Mereka terkejut apabila melihat sebelah kaki Hashim terlindung di sebalik daun-daun keladi di dalam selut.

"Kau ambik benda ni, bawa ke masjid. Kaki ni kita kena mandikan dan kapankan. Lepas tu kita kena kebumikan," ujar Tok Imam. Zaoyah terkejut apabila diberitahu penemuan kaki Hashim di dalam semak di tempat kemalangan.

"Mungkin yang datang tu roh dia, minta disempurnakan. Itu sahaja yang Tok boleh katakan. Wallahualam," ujar Tok Imam ketika Zaoyah bertanya mengapa dia melihat kaki Hashim berjalan di dalam rumah.

Selepas kaki Hashim dikebumikan, Zaoyah tidak mendengar lagi bunyi orang berjalan di dalam rumahnya.


~Petikan dari Majalah Seri Dewi & Keluarga Mac 2000~

1 comment:

ubkom said...

Nice story...
Ditunggu cerita selanjutnya ya...
^_^