Free Search

Monday, April 21, 2008

Si Tanggang

Si Tanggang (ataupun "Si Tenggang") adalah sebuah cerita dongeng atau cerita lagenda masyarakat Melayu. Ia mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya, dan akhirnya bertukar menjadi batu setelah disumpah oleh si ibu dengan izin Tuhan.

Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama, iaitu balasan kepada manusia yang menderhakai ibunya.

Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular di kalangan masyarakat Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun. Golongan kanak-kanak sesuai didedahkan dengan cerita ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu juga perkara yang ditegah agama iaitu jangan derhaka kepada orang tua. Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.

Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang. Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat, mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.

Serba sedikit mengenai cerita ini... Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

Pada suatu hari, ketika sudah dewasa, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya kerana itulah peluang yang ada untuk mencapai cita-citanya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengan Si Tanggang kerana dia sangat rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkatnya. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Sultan amat menyukai akan Si Tanggang kerana bakat dan kepintarannya. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif lagi hina itu di hadapan isterinya. Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, akan tetapi dia berpura-pura tidak kenal mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi Si Tanggang telah berbohong mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah lama meninggal dunia, disebabkan terlalu malu untuk menjelaskan asal usul dirinya itu.

Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap dan dengan cara yang tidak sepatutnya seorang anak lakukan terhadap orang tua. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampuni. Akan tetapi, penyesalannya itu sudah tidak berguna lagi. Segalanya sudah terlambat. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

Apakah pengajaran yang dapat kita ambil dari cerita Si Tanggang? Kedua orang tua kita seharusnya kita layan dengan baik. Walaupun mungkin mereka sudah tua dan miskin, janganlah kita memandang mereka dengan sebelah mata. Semasa kita masih bayi, kita telah dijaga dan dibelai dengan sepenuh kasih sayang sehingga kita dewasa. Tanpa mereka mana mungkin kita boleh melihat dunia yang serba indah ini. Doa yang dilafazkan dari mereka penuh dengan keberkatan. Sayangilah mereka sementara mereka masih ada dan jika mereka sudah tiada, hadiahkanlah pahala untuk mereka. Semoga anak-anak kita juga akan mencontohi apa yang kita lakukan itu.

Friday, April 11, 2008

Misteri Sumpahan Mahsuri

Kali ini aku nak update pasal kisah-kisah lagenda serta misteri Melayu. Hmm... aku nak stat dengan cerita Mahsuri. Yang aku tahu, dia nie memang cantik. Kalo ada sesiapa ada gambar dia, kasik la kat aku. Boleh aku upload kat sini... Ok, ni ceritanya yang aku dapat dari wikipedia...

Mahsuri binti Pandak Maya merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi. Beliau dilahirkan oleh pasangan Pandak Maya dan Mak Andam pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka, Langkawi. Mahsuri turut digelar sebagai Puteri Mahsuri dan dengan jolokan Puteri Langkawi.

Kehidupan dan sejarah Mahsuri telah dilitupi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan lagenda dan kisah rakyatnya. Kisah yang paling popular tentang kehidupan beliau adalah ketika saat akhir sebelum beliau dibunuh yang hingga kini dijadikan sebagai bahan untuk persembahan teater bangsawan hinggalah kepada cerita kanak-kanak.

Kehidupan Mahsuri

Kehidupan awal Mahsuri adalah sewaktu Langkawi di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) iaitu ketika Pandak Maya baru sahaja berhijrah ke Langkawi.

Dikhabarkan bahawa pasangan Pandak Maya dan Mak Andam (ada menyatakan nama ibunya adalah Mak Endah Alang) datang dari Siam. Pandak Maya boleh dikatakan sabagai orang yang berada serta kaya di Langkawi kerana mempunyai tanah sawah yang luas dan terlibat dengan perniagaan sarang Burung Layang-layang Padi.

Kelahiran Mahsuri turut dibayangi lagenda apabila sesetengah masyarakat percaya bahawa selepas ibunya (yang tidak pernah mempunyai anak) memakan kerak nasi yang dijumpai di sawah, akhirnya mengandung dan melahirkan Mahsuri. Kehidupan Mahsuri dikhabarkan adalah seperti anak gadis Melayu yang lain yang diasuh dengan tatasusila dan kesantunan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, kecantikan Mahsuri membawa kepada iri hati dan kecemburuan masyarakat setempat terutamanya di kalangan kaum wanita. Masakan tidak kerana di mana sahaja orang asyik memuji-muji kejelitaannya.

Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan iaitu Wan Derus, salah seorang anak kepada wakil Sultan di Langkawi, Wah Yahya (atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya) dan Wan Mahura.

Fitnah Yang Menimpa Mahsuri

Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri pada ketika itu sedang hamil sewaktu Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan Wan Derus, Mahsuri dikatakan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika itu, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi. Dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.

Kebolehan Deramang bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, ibu mertuanya juga sebagai isteri pembesar pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.

Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh oleh bapa mertuanya sendiri akibat termakan hasutan isterinya itu. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang diseret ke Padang Matsirat (pusat Langkawi ketika itu), untuk dijatuhkan hukuman mati. Mahsuri diikat di sebatang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris) yang terdapat pada alang rumahnya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ianya seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Walaupun dipujuk dan dirayu oleh ibu bapa Mahsuri, hukuman terus dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa sebarang belas kasihan. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih yang membuktikan dia seorang wanita yang suci dari dosa serta kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya walaupun melawan. Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan untuk menebusnya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

Sumpahan Mahsuri

Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Siam. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan disiksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah berleluasa.

Penutup Sumpahan

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Sewaktu Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana Mahsuri dikebumikan. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.

Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur (satu daripadanya disebabkan kedatangan pekerja untuk membina makam Mahsuri). Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri (ada yang mengatakan kelapan) menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.

Kebetulan pula ketika itu, Langkawi menjadi pusat pelancongan dan jualan bebas cukai lalu menarik lebih ramai pengunjung ke pulau itu. Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir turut membantu mempromosikan Langkawi dengan menambahkan infrastruktur dan menjadikannya pusat pertunjukan seperti LIMA.

Walaupun misteri sumpahan Mahsuri sudah berakhir (barangkali), namun hakikatnya segala kejadian itu sudah ditentukan dalam catatan takdir. Terpulang pada kebijaksanaan masing-masing untuk mentafsirkannya. Apa yang pasti, kisah Mahsuri tetap menjadi lagenda yang sukar dilupakan. Mungkin kisah tersebut terus berulang dalam kehidupan kita yang semakin moden ini. Akibat sifat iri hati dan fitnah, orang yang tidak berdosa menjadi korban.