Free Search

Sunday, December 26, 2010

Kereta berat ditumpang pontianak

Dari : http://halaqah.net

Enjin mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60km

MENGHABISKAN cuti hujung minggu di Bukit Fraser, Raub, Pahang sudah jadi amalan Ghazli dan Fazlin (buka nama sebenar) serta tiga anak mereka sejak setahun lalu.

Kerjaya Ghazli sebagai pemuzik dan isterinya, penulis sesuai dengan suasana semula jadi yang ditawarkan kawasan pelancongan berbukit di Banjaran Titiwangsa ini.

Selain suasana alam semula jadi yang masih tidak dicemari pemodenan yang rencam, Fazlin cukup mengagumi suasana perkampungan seolah-olah di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.

Banyak kali juga suami isteri ini mendengar cerita seram, pelik dan misteri yang dialami pelancong yang bertandang, maklumlah kebanyakan banglo serta hotel yang ada sedia wujud seawal era kolonial lagi, namun itu semua tidak pernah menjadi penghalang.

Bukit Fraser menyimpan pelbagai sejarah perjuangan orang Melayu sewaktu menentang penjajah Inggeris sejak 1917 hingga ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Antara kisah misteri yang pernah menyelubungi Bukit Fraser, termasuk pencarian seorang paderi Kristian dari Singapura pada 1917, Bishop C.J. Ferguson yang berjaya menemui ‘Bukit Fraser’ selepas berhari-hari mencari rakannya, seorang pelombong bijih timah, Louis James Freser yang dilaporkan hilang di dalam hutan itu.

Kerajaan Inggeris percaya Freser mati dimakan binatang buas atau dibunuh Orang Asli dan tubuhnya menjadi makanan mereka. Begitupun versi yang boleh diyakini menyatakan Freser dibunuh pejuang Melayu yang menentang Inggeris.

Memang sudah tertulis, setiap apa yang berlaku ada sebab tersendiri. Terpulang kepada manusia dan insan di bumi Allah SWT untuk mengambil iktibar.

Kali ini Ghazli dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan iaitu hampir Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser dalam suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika berselisih kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu berlaku sukar juga hendak mendapatkan bantuan.

Nekad meneruskan perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi kawasan tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu yang tidak kena dengan kereta yang dipandu.

Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.

Fazlin sendiri tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula senyap dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum ini, tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli menekan pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta baru dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.

Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.

Jangka waktu 20 minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan sesal dan bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa mereka sekeluarga.

Sebaik melepasi selekoh lokasi tragedi Sir Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba meluncur laju. Tiada lagi bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar. Ghazli dan Fazlin masih membisu sehinggalah mereka tiba di menara jam di tengah pekan Bukit Fraser.

“Nampak tak apa yang saya nampak?” kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin dengan wajah pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.

“Benda tu terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap ke dalam hutan dekat selekoh tadi...” kata Ghazli lagi sambil meraut muka dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang dikenali sebagai pontianak.

“Patutlah abang diam semacam saja, rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga. Barulah saya faham kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah waktu Maghrib, inilah mungkin sebabnya.”

Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.

Wednesday, December 22, 2010

Pengalaman aneh dilalui pesakit ketika koma

Sumber : http://husain386.blogspot.com

TIDAK berapa lama dulu, seorang rakan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara. Beliau koma beberapa hari tetapi pembedahan berjaya dilakukan. Dia kembali sihat, cuma ada kesan parut di dada.

Namun, misteri masih timbul dan sehingga sekarang sukar dijawab mengenai 'kehadiran' orang yang sudah lama meninggal dunia di sisinya ketika koma.


"Bayangkan, sepanjang tempoh saya berada dalam keadaan koma, saya 'dijaga' oleh arwah ayah yang duduk di sebelah katil saya. Kalangan 'pelawat' yang datang pula terdiri daripada anggota keluarga saya yang semuanya sudah meninggal dunia," ceritanya.

Beliau tidak pasti sama ada ia satu mimpi, mainan dalam kepala atau itulah berlaku pada seseorang yang berada dalam keadaan 'antara hidup dan mati' - koma. Hatta, hanya orang yang duduk dalam alam roh saja boleh bertemu roh (orang yang sudah meninggal dunia).

Sambungnya lagi: "Apabila saya mengerang kesakitan, arwah bapa saya akan mengurut belakang saya, sambil memberi kata-kata semangat berbunyi: 'Tak apa, ayah ada untuk bantu', 'sabar, lepas ini baiklah tu'. Akhirnya, arwah bapa mengajak saya mengikutnya pulang."

Menurut rakan itu lagi, beberapa minggu selepas keluar dari IJN, beliau balik ke kampungnya dan kebetulan seorang ustaz yang juga pernah menjadi gurunya datang menziarah.

"Ustaz itu tanya, sama ada saya ada mengalami sesuatu (macam mimpi) ketika menjalani pembedahan dan dalam keadaan koma. Maka, saya ceritalah pengalaman saya itu tetapi beliau tidak terkejut. Malah kata beliau, jika saya ikut kehendak arwah bapa yang mengajak saya pulang bersamanya, ia bermakna saya akan 'mengikutnya ke dunia lain' juga (meninggal dunia). Namun, takdir belum menetapkan ajal saya," katanya.

Ada yang kata, sebab itu apabila seseorang baru sedar daripada koma atau pengsan, dia akan meracau dan pelbagai kata-kata terkeluar daripada mulut dan sesetengahnya lucu atau tidak masuk akal termasuk menyebut perkara yang bukan-bukan seperti memanggil nama orang yang sudah meninggal dunia.

Tun Dr Mahathir Mohamad selepas 24 jam selesai menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua di IJN, pernah mengeluarkan kata-kata lucu kepada isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

"Selepas sedarkan diri, beliau (Dr Mahathir) sempat berjenaka dan menanyakan beberapa perkara lucu kepada ibu (Dr Siti Hasmah)," kata anaknya, Mokhzani ketika itu tetapi tidak menjelas lanjut perkara lucu yang dimaksudkan.

Ada satu lagi misteri, yang biasanya berlaku dalam masyarakat Melayu ialah seseorang yang akan meninggal dunia, menyebut nama-nama mereka yang sudah lama meninggal dunia. Biasanya kejadian seumpama ini hanya disedari selepas seseorang itu meninggal dunia.

Cerita pula seorang rakan bernama Osman: "Arwah bapa mentua saya, kerap kali menyebut nama ahli keluarga lain yang sudah lama meninggal dunia. 'Si anu' mengajak saya mengikutnya..... Itu berlaku kira-kira enam bulan sebelum dia meninggal dunia. Ada juga antara kami menganggap kenyataan itu sebagai nyanyuk."

Malah ada juga cerita menyatakan orang yang baru meninggal dunia, masih berupaya untuk mengenali siapa yang datang menziarahi dan begitu juga apabila arwah sudah berada di liang lahad.

Bagaimanapun, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed ketika diminta pandangannya mengenai pendapat bahawa jenazah (orang sudah mati) boleh melihat mereka yang datang menziarah, berkata al-Qurtubi dalam At-Tazkirah menjelaskan, orang mati nampak orang yang melaluinya.

"Orang dah mati diberi peluang oleh Allah untuk tengok orang yang hidup," katanya dan menyatakan firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad). Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan." (Surah at-Tawbah, ayat 105).

Malah katanya, orang yang sudah mati diceritakan berdoa kepada Allah apabila ada di dunia ini yang hendak mati, meminta supaya jangan dicabut dulu nyawa orang itu kerana dia belum sedia hendak mati disebabkan amal yang kurang.

"Roh ini ada tiga keadaan dan satu daripadanya ialah roh berhubung sesama mereka tanpa had, maknanya antara roh sesama roh boleh berhubung. Contoh macam kita mimpi berjumpa roh lain atau pergi ke satu tempat.

"Begitu juga apabila kita berjumpa dengan seseorang, rasa macam mudah hendak kenal dan selesa. Maknanya, roh pun buat kajian mengenai orang yang selari dengan dia dan mudah bertolak ansur. Ini serupa dengan keadaan di mana ada orang yang kita jumpa tetapi tidak boleh 'ngam'. Orang nak meninggal ini Allah bagi kelebihan. Sebab itu ada yang sedang nazak kita dengar dia sebut nama orang yang sudah meninggal dunia," jelasnya.

Ibn al-Qayyim dalam Kitab ar-Ruh menyatakan: Apabila seseorang menziarah kubur, orang dalam kubur mengenali orang yang datang dan mendengar suara mereka. Mereka menjadi gembira dan membalas salam orang yang datang. Ini bukan untuk orang yang mati syahid saja, malah untuk semua orang mati dan tidak terhad waktunya.

Ada juga pendapat menyatakan bahawa kebiasaannya orang tua akan menyebut nama ahli keluarga lain yang sudah meninggal dunia, semata-mata kerana sudah nyanyuk, apabila memorinya sudah tidak seimbang.

Penulis teringat tulisan Nuraina Samad dalam blognya Julai tahun lalu mengenai bapanya, Tan Sri Abdul Samad Ismail atau Pak Samad yang meninggal dunia, Khamis lalu.

Nuraina, bekas wartawan New Straits Times (NST) berkata, mereka sekeluarga sudah biasa dengan bapa mereka yang kerap terlupa dan ada ketikanya mereka berasakan yang Pak Samad bagaikan berpura-pura lupa nama dan peristiwa tertentu.

"Ada ketikanya, kita rasa hairan dengan sikap bapak. Bapak bertanya mengenai Kak Eda. 'Lama Kak Eda tak datang', kata bapak kepada saya. Saya bagi tahu bapak, Kak Eda dah meninggal dan bapak terkejut dengan menyatakan 'tiada siapa bagi tahu saya.'

"Saya kata, bapak.... kan bapak dah tahu Kak Eda dah meninggal dunia kerana kanser, cuma bapak tidak ingatnya sekarang, kata saya perlahan. Bapak terdiam agak lama," kata Nuraina. Kad Eda atau Noraida Samad, 51, meninggal dunia pada 8 Mac tahun lalu kerana kanser.

Kira-kira sebulan sebelum sambutan 50 tahun Berita Harian Julai tahun lalu, penulis menghubungi Nuraina untuk membuat temu bual khas dengan Pak Samad, sempena sambutan itu untuk disiarkan dalam keluaran khas.

"Tak ada masalah, tetapi yang jadi masalahnya ialah kadangkala bapak antara sedar dan tak sedar. Ok, macam ini, you e-mel saja semua soalan pada saya. Apabila bapak berada dalam keadaan sedar, saya sendiri akan bertanya dan catatkan. Bila siap akan e-mel you semula," kata Nuraina. Ternyata Nuraina tidak menghampakan.

Segala coretan dalam kolum ini, adalah sebagai pengajaran akan kebesaran Allah dan betapa dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Wang berjuta, timbunan harta dan deretan gelaran, semuanya untuk kesenangan dunia yang tidak akan dibawa bersama-sama ke dunia lain, apabila tiba masanya nanti.

Oleh : Kadir Dikoh
kadiro@bharian.com.my

Wednesday, November 17, 2010

Aidil Adha - Raikan dengan ketaqwaan

HARI Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji, juga dikenali sebagai Hari Raya Korban. Ia merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima bagi mereka yang mampu, sekali gus menandakan bermulanya ibadat korban.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya, Nabi Ismail dalam memenuhi perintah tersebut.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ini ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hakikatnya, terdapat di dalam

masyarakat beberapa golongan yang silap faham lalu melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Begitu juga, di dalam permasalahan pembahagian daging korban, haiwan

korban adakah menjadi pengangkutan di kemudian hari? dan juga berkaitan penyaksian mereka yang melaksanakan korban.

Bertemu Pensyarah Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail diharap dapat menjelaskan kemusykilan sekitar tajuk di atas ini.

Soalan: Hadis popular yang mengatakan binatang yang kita korbankan itu akan menjadi tunggangan atau kenderaan di akhirat kelak. Adakah hadis di atas ini hanya satu bentuk kiasan, ataupun ia membawa maksud yang langsung?

Jawapan: Setiap kali menjelangnya Hari Raya Korban, banyak tulisan-

tulisan ilmiah atau perbincangan agama bersandarkan kepada hadis yang menyatakan tentang haiwan korban akan menjadi tunggangan apabila melintasi titian sirat pada Hari Kiamat nanti.

Hakikatnya, hadis ini dijadikan sebagai satu galakan kepada kita supaya melaksanakan ibadat korban. Pun begitu, apabila diteliti tentang status hadis tersebut, menurut al-Hafiz al-'Azjluni al-Shafei dalam kitabnya, Kashfu al-Khafa', menyatakan bahawa kesahihan hadis ini diragui.

Beliau memetik dari kitab al-Nihayah oleh Imam al-Haramain, alGhazali dalam kitab, al-Wasit dan al-Rafei dalam Kitab al-Aziz, bahawa Ibn Solah ada menyatakan bahawa hadis ini adalah tidak dapat ditentukan statusnya atau dengan kata lain ia adalah hadis dhaif. Ada di kalangan ulama hadis lain, menyatakan bahawa hadis ini bukan hadis, bahkan ia adalah merupakan kata-kata ulama.

Oleh itu, titian sirat merupakan salah satu perkara-perkara ghaib yang berkaitan dengan akidah dan tidak boleh dijelaskan menggunakan hadis-hadis dhaif, apatah lagi diragui ia adalah hadis atau tidak.

Perlukah orang yang berkorban itu menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan korbanan mereka dan segelintir menganggap ia satu kemestian. Ini berdasarkan kepada hadis bermaksud: Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu. (Riwayat Al-Imam Bazzar dan Al-Imam Ibnu Hibban). Berikan pandangan Ustaz?

Berhubung dengan persoalan di atas, iaitu adakah perlu orang yang berkorban itu menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan korbanan mereka dan jika mereka tidak menyaksikan akan mengakibatkan batal ibadat

korbannya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim dalam sanad sahih yang bermaksud:

Wahai Fatimah!! Berdirilah di sisi

korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu.

Hadis ini tidak menunjukkan bahawa menyaksikan korban bagi mereka yang ingin berkorban itu satu kemestian dan menyebabkan batal ibadat korban jika tidak berbuat demikian. Perbuatan tersebut merupakan sunat dan lebih afdhal sekira disaksikan sendiri.

Menyaksikan sendiri perlaksanaan korban tidak termasuk dalam syarat-syarat ibadat korban. Di dalam kitab-kitab fikah menyatakan, penyaksian korban adalah sunat yang penting bagi mereka yang ingin melaksanakan korban berniat untuk melakukannya.

Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj ada menyatakan demikian, iaitu disunatkan bagi mereka yang ingin melaksanakan korban menyembelih sendiri

binatang korban dan sekiranya tidak mampu disunatkan bagi mereka

menyaksikan penyembelihan tersebut.

Pengertian ibadat korban dan sejarah ringkas Hari Raya Korban?

Ibadat korban merupakan suatu ibadat yang amat digalakkan di dalam Islam, khususnya bagi mereka yang mampu dari segi kewangannya. Ibadat korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Di dalam ibadat korban ini juga, terdapat pelbagai hikmah dan rahsia serta ganjaran yang amat besar sekali daripada Allah s.w.t.

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah Sunat Muakkad, melainkan bagi mereka yang bernazar, ia akan menjadi suatu perkara yang wajib manakala, makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya, sedangkan ia mampu.

Pun begitu, ibadat korban merupakan suatu ibadat yang wajib kepada Nabi Muhammad s.a.w seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud: Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu.

Ibadat korban bermaksud, penyembelihan binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan seumpamanya, pada hari raya korban, iaitu 10 Zulhijjah sehingga gelincir matahari pada hari akhir tashriq, iaitu 13 Zulhijjah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Berikan beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang kelebihan mereka yang melaksanakan ibadah korban?

Hakikatnya terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis berkaitan permintaan di atas. Namun di sini, saya akan sediakan beberapa yang popular. Kelebihan hari raya Aidiladha dan ibadat korban ada disebut di dalam al-Quran dan sunah. Antaranya firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud: Bersembahyanglah olehmu wahai Muhammad dan sembelihlah olehmu.

Solat di sini bermaksud, solat hari raya dan apabila Allah s.w.t. menyuruh melaksanakannya sudah tentu terdapat padanya kelebihan dan fadhilat yang amat besar.

Sembelih di sini bermaksud, ibadat korban. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hajj ayat 34 yang maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.

Selain itu juga, Rasulullah s.a.w. juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu meng

ambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.

Apakah perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari raya korban?

Menyentuh perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari raya korban, apa sahaja yang disunatkan pada Hari Raya Aidilfitri juga disunatkan pada Hari Raya Korban. Di antaranya;

1) Kita disunat solat hari raya dan mendengar khutbah seperti mana pada Hari Raya Aidilfitri. Menurut Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fatawa Mu'asirah, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, melakukan solat di tempat yang terbuka seperti di padang atau di tempat-tempat yang luas dengan tujuan untuk memperlihatkan syiar Islam dan kekuatan umatnya.

Berdasarkan pada hadis solat di padang dan seumpamanya, adalah lebih afdal berbanding di masjid, sekalipun masjid mampu menampung bilangan jemaah yang ramai melainkan dalam cuaca yang tidak menentu.

2)Disunatkan juga memperbanyakkan takbir dan tahmid dan berpakaian baru dengan tujuan untuk menzahirkan nikmat Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. sangat suka melihat hasil nikmat yang dikurniakan ke atas hamba-Nya (iaitu memakai pakaian indah pada hari raya.

3) Di samping itu juga, disunat berwuduk dan mandi sunat hari raya sebelum menunaikan solat sunat hari raya serta saling menziarahi dan menghubungkan silaturahim di antara satu sama lain, terutama sekali menziarahi kedua ibu bapa, saudara mara, sahabat handai dan lain-lain lagi.

4) Kita juga disunatkan untuk melaksanakan ibadat korban sekiranya mampu untuk berbuat demikian.

Oleh itu, bagaimanakah seharusnya Hari Raya Korban itu disambut dan dibesarkan agar tidak bercanggah atau bertentangan dengan ajaran Islam?

Tidak dinafikan bahawa masyarakat hari ini tidak menyambut Hari Raya Korban menurut ajaran Islam seperti pergaulan bebas. Oleh itu, bagi memastikan cara menyambut hari raya ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam, maka hari kebesaran ini perlu dirayakan menurut acuan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Misalnya, Islam amat menggalakkan saling menziarahi sesama Islam, namun bukannya dengan cara pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

Selain itu, Islam amat menggalakkan berpakaian baru, namun bukannya sampai mengakibatkan pembaziran dan paling mengharukan, perlaksanaan ibadat korban tidak sampai kepada objektifnya yang dikehendaki oleh Islam.

Misalnya mereka yang melaksanakan korban disunatkan memakan hanya sedikit daripada daging

korban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin.

Namun, apa yang berlaku hari ini, adalah sebaliknya. Keadaan ini adalah disebabkan kejahilan masyarakat tentang hukum agama, khususnya hukum ibadat korban.

Hari raya korban begitu sinonim dengan makna pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim. Bagaimanakah nilai pengorbanan ini boleh disesuaikan dengan suasana yang berlaku pada masa ini sama ada, dalam apa juga aspek kehidupan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Hari Raya Korban yang bakal kita raikan mengandungi rahsia yang amat hebat sekali yang dapat dijadikan pedoman hidup kita.

Sebenarnya Hari Raya Korban mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kisah yang telah berlaku di antara Nabi Ibrahim dengan puteranya yang tercinta, iaitu Nabi Ismail.

Menurut kitab Tafsir Ibn Kathir, pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu baginda telah lanjut usia. Namun Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. supaya dikurniakan zuriat.

Maka dengan kuasa Allah s.w.t. yang tidak dapat diduga baginda telah dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail.

Baginda berasa amat gembira dan tidak ada perkataan dapat dilafazkan melainkan mengucapkan syukur di atas kurniaan yang telah lama ditunggu-tunggu. Kisah ini dinyatakan dalam surah al-Shoffat ayat 101 yang bermaksud : Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

Para ulama bersepakat termasuk ahli kitab, bahawa Nabi Ismail telah dilahirkan terlebih dahulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat di dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan sewaktu Nabi Ibrahim berumur 99 tahun.

Tatkala umur Nabi Ismail telah meningkat muda remaja, satu ujian yang amat berat telah diturunkan oleh Allah s.w.t. ke atas dua beranak tersebut, dengan tujuan untuk menguji keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya.

Betapa berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah tersebut kepada anaknya, Ismail. Namun, ini merupakan perintah Allah s.w.t. yang wajib dilaksanakan .

Menurut ulama tafsir di dalam kitab tafsir, Fath al-Qadir, Nabi Ibrahim telah bermimpi tiga malam berturut-turut menyembelih anaknya. Sebagaimana yang kita maklum, mimpi para nabi bukan mainan tidur, bahkan ia merupakan wahyu daripada Allah s.w.t.

Dengan hati yang sedih, Nabi Ibrahim menyatakan tentang perintah Allah s.w.t. itu kepada Nabi Ismail. Namun, jawapan yang amat menakjubkan keluar dari mulut Nabi Ismail dengan menyatakan: "Wahai bapaku laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang-orang yang sabar".

Kisah kepatuhan dan kesabaran dalam melaksanakan perintah yang amat berat ini telah dinyatakan dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!. Ia (Ismail) menjawab: "Hai bapakku kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu; insyallah kamu akan mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar.

Dan ini merupakan ujian yang amat berat ditanggung oleh Nabi Ibrahim as dan anaknya yang tidak mampu ditanggung oleh manusia biasa termasuklah menerima penghinaan dan cercaan daripada kaumnya. Oleh kerana ketaatan kepada Allah dan kesabaran yang teramat tinggi, maka mereka berjaya mengharungi ujian Allah s.w.t. ini.

Akhirnya Allah s.w.t menggantikan tempat Nabi Ismail dengan memerintah Nabi Ibrahim menyembelih seekor kibas. Kenyataan ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Saffat ayat 107 yang bermaksud: Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (kibas).

Peristiwa inilah merupakan dasar kepada pensyariatan ibadat korban pada setiap kali tibanya Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha.

Pengajaran

Pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail banyak telah memberi pengajaran kepada kita dalam pelbagai aspek kehidupan antaranya;

Mengambil iktibar dan pengajaran terhadap ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tanpa menghiraukan cercaan dan penghinaan, demi mematuhi perintah Tuhannya.

Oleh itu, untuk melakukan sesuatu yang baik tidak semestinya akan ditaburkan dengan pujian, kadangkala ia akan dihamburkan dengan penghinaan dan cercaan.

Lantas ujian inilah terpaksa dilalui oleh mereka yang inginkan kebenaran. Begitu juga untuk berdakwah kepada agama Allah, kesabaran merupakan suatu perkara yang amat penting.

Hasil dari peristiwan Nabi Ibrahim dan anaknya ini juga, Allah s.w.t. telah mensyariatkan ibadat korban. Dan dalam ibadat korban mengandungi berbagai-bagai hikmah di antaranya, memupuk sikap keprihatinan terhadap masyarakat, iaitu dengan mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya seperti fakir miskin dan seumpamanya

Selain itu peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dapat menyemai sifat murni di dalam diri dengan mencontohi kesabaran dan ketabahan serta sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah s.w.t.

Ini kerana, ujian yang diturunkan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-hamba-Nya adalah berdasarkan darjat keimanan mereka. Allah s.w.t. tidak akan menguji hamba-Nya melampaui keimanan yang ada.

Sekiranya kita merasakan ujian yang kita terima hari ini adalah berat, sebenarnya ujian tersebut tidak sehebat ujian yang diterima oleh Nabi Ibarahim dan anaknya Ismail.

Selain tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita dituntut supaya membangunkan diri, keluarga dan umat. Demikian juga kita dituntut untuk membangun kampung halaman, tempat kita tinggal dan mencari penghidupan, seterusnya membangun tanah air atau negara kita yang tercinta sesuai dengan peranan dan kemampuan

masing-masing, berpandu kepada syariat Allah yang bersumberkan al-Quran dan sunah.

Perbezaan ibadah korban dan akikah. Terangkan kerana seringkali timbul kekeliruan tentang dua ibadat ini?

Terdapat beberapa kekeliruan yang sering kali timbul antara ibadat korban dengan akikah, khususnya dalam kes menggabungkan niat korban dan akikah secara serentak. Misalnya, seseorang itu berniat korban dan akikah serentak atas seekor kambing.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Kubra dan dalam kitab Tuhfah: ''Jika seseorang itu berniat ibadat korban dan akikah atas seekor kambing serentak, maka kedua-duanya dianggap sebagai batal.

Ini kerana korban dan akikah mengandungi makna sunat yang tersendiri. Selain itu juga, korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka yang melakukan dosa, manakala, akikah dilaksanakan disebabkan kelahiran.

Boleh dikatakan akikah dan korban mempunyai matlamat dan hikmah yang tersendiri, maka sudah tentulah niat perlu diasingkan di antara satu sama lain.


Oleh ZUARIDA MOHYIN

http://www.utusan.com.my