Free Search

Wednesday, November 17, 2010

Aidil Adha - Raikan dengan ketaqwaan

HARI Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji, juga dikenali sebagai Hari Raya Korban. Ia merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima bagi mereka yang mampu, sekali gus menandakan bermulanya ibadat korban.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya, Nabi Ismail dalam memenuhi perintah tersebut.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ini ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hakikatnya, terdapat di dalam

masyarakat beberapa golongan yang silap faham lalu melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Begitu juga, di dalam permasalahan pembahagian daging korban, haiwan

korban adakah menjadi pengangkutan di kemudian hari? dan juga berkaitan penyaksian mereka yang melaksanakan korban.

Bertemu Pensyarah Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail diharap dapat menjelaskan kemusykilan sekitar tajuk di atas ini.

Soalan: Hadis popular yang mengatakan binatang yang kita korbankan itu akan menjadi tunggangan atau kenderaan di akhirat kelak. Adakah hadis di atas ini hanya satu bentuk kiasan, ataupun ia membawa maksud yang langsung?

Jawapan: Setiap kali menjelangnya Hari Raya Korban, banyak tulisan-

tulisan ilmiah atau perbincangan agama bersandarkan kepada hadis yang menyatakan tentang haiwan korban akan menjadi tunggangan apabila melintasi titian sirat pada Hari Kiamat nanti.

Hakikatnya, hadis ini dijadikan sebagai satu galakan kepada kita supaya melaksanakan ibadat korban. Pun begitu, apabila diteliti tentang status hadis tersebut, menurut al-Hafiz al-'Azjluni al-Shafei dalam kitabnya, Kashfu al-Khafa', menyatakan bahawa kesahihan hadis ini diragui.

Beliau memetik dari kitab al-Nihayah oleh Imam al-Haramain, alGhazali dalam kitab, al-Wasit dan al-Rafei dalam Kitab al-Aziz, bahawa Ibn Solah ada menyatakan bahawa hadis ini adalah tidak dapat ditentukan statusnya atau dengan kata lain ia adalah hadis dhaif. Ada di kalangan ulama hadis lain, menyatakan bahawa hadis ini bukan hadis, bahkan ia adalah merupakan kata-kata ulama.

Oleh itu, titian sirat merupakan salah satu perkara-perkara ghaib yang berkaitan dengan akidah dan tidak boleh dijelaskan menggunakan hadis-hadis dhaif, apatah lagi diragui ia adalah hadis atau tidak.

Perlukah orang yang berkorban itu menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan korbanan mereka dan segelintir menganggap ia satu kemestian. Ini berdasarkan kepada hadis bermaksud: Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu. (Riwayat Al-Imam Bazzar dan Al-Imam Ibnu Hibban). Berikan pandangan Ustaz?

Berhubung dengan persoalan di atas, iaitu adakah perlu orang yang berkorban itu menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan korbanan mereka dan jika mereka tidak menyaksikan akan mengakibatkan batal ibadat

korbannya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim dalam sanad sahih yang bermaksud:

Wahai Fatimah!! Berdirilah di sisi

korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu.

Hadis ini tidak menunjukkan bahawa menyaksikan korban bagi mereka yang ingin berkorban itu satu kemestian dan menyebabkan batal ibadat korban jika tidak berbuat demikian. Perbuatan tersebut merupakan sunat dan lebih afdhal sekira disaksikan sendiri.

Menyaksikan sendiri perlaksanaan korban tidak termasuk dalam syarat-syarat ibadat korban. Di dalam kitab-kitab fikah menyatakan, penyaksian korban adalah sunat yang penting bagi mereka yang ingin melaksanakan korban berniat untuk melakukannya.

Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj ada menyatakan demikian, iaitu disunatkan bagi mereka yang ingin melaksanakan korban menyembelih sendiri

binatang korban dan sekiranya tidak mampu disunatkan bagi mereka

menyaksikan penyembelihan tersebut.

Pengertian ibadat korban dan sejarah ringkas Hari Raya Korban?

Ibadat korban merupakan suatu ibadat yang amat digalakkan di dalam Islam, khususnya bagi mereka yang mampu dari segi kewangannya. Ibadat korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Di dalam ibadat korban ini juga, terdapat pelbagai hikmah dan rahsia serta ganjaran yang amat besar sekali daripada Allah s.w.t.

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah Sunat Muakkad, melainkan bagi mereka yang bernazar, ia akan menjadi suatu perkara yang wajib manakala, makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya, sedangkan ia mampu.

Pun begitu, ibadat korban merupakan suatu ibadat yang wajib kepada Nabi Muhammad s.a.w seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud: Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu.

Ibadat korban bermaksud, penyembelihan binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan seumpamanya, pada hari raya korban, iaitu 10 Zulhijjah sehingga gelincir matahari pada hari akhir tashriq, iaitu 13 Zulhijjah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Berikan beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang kelebihan mereka yang melaksanakan ibadah korban?

Hakikatnya terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis berkaitan permintaan di atas. Namun di sini, saya akan sediakan beberapa yang popular. Kelebihan hari raya Aidiladha dan ibadat korban ada disebut di dalam al-Quran dan sunah. Antaranya firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud: Bersembahyanglah olehmu wahai Muhammad dan sembelihlah olehmu.

Solat di sini bermaksud, solat hari raya dan apabila Allah s.w.t. menyuruh melaksanakannya sudah tentu terdapat padanya kelebihan dan fadhilat yang amat besar.

Sembelih di sini bermaksud, ibadat korban. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hajj ayat 34 yang maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.

Selain itu juga, Rasulullah s.a.w. juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu meng

ambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.

Apakah perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari raya korban?

Menyentuh perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari raya korban, apa sahaja yang disunatkan pada Hari Raya Aidilfitri juga disunatkan pada Hari Raya Korban. Di antaranya;

1) Kita disunat solat hari raya dan mendengar khutbah seperti mana pada Hari Raya Aidilfitri. Menurut Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fatawa Mu'asirah, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, melakukan solat di tempat yang terbuka seperti di padang atau di tempat-tempat yang luas dengan tujuan untuk memperlihatkan syiar Islam dan kekuatan umatnya.

Berdasarkan pada hadis solat di padang dan seumpamanya, adalah lebih afdal berbanding di masjid, sekalipun masjid mampu menampung bilangan jemaah yang ramai melainkan dalam cuaca yang tidak menentu.

2)Disunatkan juga memperbanyakkan takbir dan tahmid dan berpakaian baru dengan tujuan untuk menzahirkan nikmat Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. sangat suka melihat hasil nikmat yang dikurniakan ke atas hamba-Nya (iaitu memakai pakaian indah pada hari raya.

3) Di samping itu juga, disunat berwuduk dan mandi sunat hari raya sebelum menunaikan solat sunat hari raya serta saling menziarahi dan menghubungkan silaturahim di antara satu sama lain, terutama sekali menziarahi kedua ibu bapa, saudara mara, sahabat handai dan lain-lain lagi.

4) Kita juga disunatkan untuk melaksanakan ibadat korban sekiranya mampu untuk berbuat demikian.

Oleh itu, bagaimanakah seharusnya Hari Raya Korban itu disambut dan dibesarkan agar tidak bercanggah atau bertentangan dengan ajaran Islam?

Tidak dinafikan bahawa masyarakat hari ini tidak menyambut Hari Raya Korban menurut ajaran Islam seperti pergaulan bebas. Oleh itu, bagi memastikan cara menyambut hari raya ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam, maka hari kebesaran ini perlu dirayakan menurut acuan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Misalnya, Islam amat menggalakkan saling menziarahi sesama Islam, namun bukannya dengan cara pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

Selain itu, Islam amat menggalakkan berpakaian baru, namun bukannya sampai mengakibatkan pembaziran dan paling mengharukan, perlaksanaan ibadat korban tidak sampai kepada objektifnya yang dikehendaki oleh Islam.

Misalnya mereka yang melaksanakan korban disunatkan memakan hanya sedikit daripada daging

korban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin.

Namun, apa yang berlaku hari ini, adalah sebaliknya. Keadaan ini adalah disebabkan kejahilan masyarakat tentang hukum agama, khususnya hukum ibadat korban.

Hari raya korban begitu sinonim dengan makna pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim. Bagaimanakah nilai pengorbanan ini boleh disesuaikan dengan suasana yang berlaku pada masa ini sama ada, dalam apa juga aspek kehidupan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Hari Raya Korban yang bakal kita raikan mengandungi rahsia yang amat hebat sekali yang dapat dijadikan pedoman hidup kita.

Sebenarnya Hari Raya Korban mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kisah yang telah berlaku di antara Nabi Ibrahim dengan puteranya yang tercinta, iaitu Nabi Ismail.

Menurut kitab Tafsir Ibn Kathir, pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu baginda telah lanjut usia. Namun Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. supaya dikurniakan zuriat.

Maka dengan kuasa Allah s.w.t. yang tidak dapat diduga baginda telah dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail.

Baginda berasa amat gembira dan tidak ada perkataan dapat dilafazkan melainkan mengucapkan syukur di atas kurniaan yang telah lama ditunggu-tunggu. Kisah ini dinyatakan dalam surah al-Shoffat ayat 101 yang bermaksud : Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

Para ulama bersepakat termasuk ahli kitab, bahawa Nabi Ismail telah dilahirkan terlebih dahulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat di dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan sewaktu Nabi Ibrahim berumur 99 tahun.

Tatkala umur Nabi Ismail telah meningkat muda remaja, satu ujian yang amat berat telah diturunkan oleh Allah s.w.t. ke atas dua beranak tersebut, dengan tujuan untuk menguji keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya.

Betapa berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah tersebut kepada anaknya, Ismail. Namun, ini merupakan perintah Allah s.w.t. yang wajib dilaksanakan .

Menurut ulama tafsir di dalam kitab tafsir, Fath al-Qadir, Nabi Ibrahim telah bermimpi tiga malam berturut-turut menyembelih anaknya. Sebagaimana yang kita maklum, mimpi para nabi bukan mainan tidur, bahkan ia merupakan wahyu daripada Allah s.w.t.

Dengan hati yang sedih, Nabi Ibrahim menyatakan tentang perintah Allah s.w.t. itu kepada Nabi Ismail. Namun, jawapan yang amat menakjubkan keluar dari mulut Nabi Ismail dengan menyatakan: "Wahai bapaku laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang-orang yang sabar".

Kisah kepatuhan dan kesabaran dalam melaksanakan perintah yang amat berat ini telah dinyatakan dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!. Ia (Ismail) menjawab: "Hai bapakku kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu; insyallah kamu akan mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar.

Dan ini merupakan ujian yang amat berat ditanggung oleh Nabi Ibrahim as dan anaknya yang tidak mampu ditanggung oleh manusia biasa termasuklah menerima penghinaan dan cercaan daripada kaumnya. Oleh kerana ketaatan kepada Allah dan kesabaran yang teramat tinggi, maka mereka berjaya mengharungi ujian Allah s.w.t. ini.

Akhirnya Allah s.w.t menggantikan tempat Nabi Ismail dengan memerintah Nabi Ibrahim menyembelih seekor kibas. Kenyataan ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Saffat ayat 107 yang bermaksud: Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (kibas).

Peristiwa inilah merupakan dasar kepada pensyariatan ibadat korban pada setiap kali tibanya Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha.

Pengajaran

Pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail banyak telah memberi pengajaran kepada kita dalam pelbagai aspek kehidupan antaranya;

Mengambil iktibar dan pengajaran terhadap ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tanpa menghiraukan cercaan dan penghinaan, demi mematuhi perintah Tuhannya.

Oleh itu, untuk melakukan sesuatu yang baik tidak semestinya akan ditaburkan dengan pujian, kadangkala ia akan dihamburkan dengan penghinaan dan cercaan.

Lantas ujian inilah terpaksa dilalui oleh mereka yang inginkan kebenaran. Begitu juga untuk berdakwah kepada agama Allah, kesabaran merupakan suatu perkara yang amat penting.

Hasil dari peristiwan Nabi Ibrahim dan anaknya ini juga, Allah s.w.t. telah mensyariatkan ibadat korban. Dan dalam ibadat korban mengandungi berbagai-bagai hikmah di antaranya, memupuk sikap keprihatinan terhadap masyarakat, iaitu dengan mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya seperti fakir miskin dan seumpamanya

Selain itu peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dapat menyemai sifat murni di dalam diri dengan mencontohi kesabaran dan ketabahan serta sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah s.w.t.

Ini kerana, ujian yang diturunkan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-hamba-Nya adalah berdasarkan darjat keimanan mereka. Allah s.w.t. tidak akan menguji hamba-Nya melampaui keimanan yang ada.

Sekiranya kita merasakan ujian yang kita terima hari ini adalah berat, sebenarnya ujian tersebut tidak sehebat ujian yang diterima oleh Nabi Ibarahim dan anaknya Ismail.

Selain tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita dituntut supaya membangunkan diri, keluarga dan umat. Demikian juga kita dituntut untuk membangun kampung halaman, tempat kita tinggal dan mencari penghidupan, seterusnya membangun tanah air atau negara kita yang tercinta sesuai dengan peranan dan kemampuan

masing-masing, berpandu kepada syariat Allah yang bersumberkan al-Quran dan sunah.

Perbezaan ibadah korban dan akikah. Terangkan kerana seringkali timbul kekeliruan tentang dua ibadat ini?

Terdapat beberapa kekeliruan yang sering kali timbul antara ibadat korban dengan akikah, khususnya dalam kes menggabungkan niat korban dan akikah secara serentak. Misalnya, seseorang itu berniat korban dan akikah serentak atas seekor kambing.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Kubra dan dalam kitab Tuhfah: ''Jika seseorang itu berniat ibadat korban dan akikah atas seekor kambing serentak, maka kedua-duanya dianggap sebagai batal.

Ini kerana korban dan akikah mengandungi makna sunat yang tersendiri. Selain itu juga, korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka yang melakukan dosa, manakala, akikah dilaksanakan disebabkan kelahiran.

Boleh dikatakan akikah dan korban mempunyai matlamat dan hikmah yang tersendiri, maka sudah tentulah niat perlu diasingkan di antara satu sama lain.


Oleh ZUARIDA MOHYIN

http://www.utusan.com.my

1 comment:

Anonymous said...

Hi, i just want to say hello to the community