Kisah ini berlaku bukan di Singapura tapi di Sumatra Indonesia, lebih tepat di provinsi Mirion, Palembang. Saya berada di sana untuk berlibur dan menemui abang ipar saya. Isteri saya adalah warga Indonesia yang menetap di Sumatra Lampung Timur. Kisah ini berlaku pada tanggal 2 Mei 2012.

Saya tidak tahu yang abang ipar saya tinggal betul2 di dalam hutan, iaitu di dalam kebun getah. Dia tinggal bersama isterinya dan seorang anak lelakinya yang hanya berusia 6 tahun. Dia terpaksa tinggal di sana kerana menguruskan kebun getah kepunyaan majikannya untuk menyara kehidupan seharian. Isteri saya pun tidak pernah ke sana, inilah pertama kali dia ke sana juga. Kami sampai di stesen keretapi pada jam 6.30 petang. Abang ipar saya pun menjemput kami di sana. Kami bersalaman dan dia terus berkata yang kami tidak boleh berlengah lagi kerana hari sudah lewat dan sudah mahu gelap, bahaya kalau lalu di dalam hutan dalam kegelapan.

Untuk memasuki kebun getah tempat abang ipar saya tinggal, kami cuma bermotorsikal sahaja. Kami tidak boleh naik kenderaan seperti kereta kerana perjalananya harus menempuhi hutan. Sampai di kawasan rumahnya hampir sejam dari bandar kami bermotosikal, abangnya memberitahu saya, "Kamu jangan 'Kaget' ya duduk di hutan... Di sini nggak ada letrik." Saya hanya tersenyum mendengar kata-katanya.

Kami sampai dan waktu menunjukkan jam 8.30 malam. Rumahnya hanya bercahayakan lampu yang menggunakan penjana disel. Walaupun lampu dihidupkan, saya tak nampak kawasan di sekeliling rumah kerana terlampau gelap dan benar, rumahnya betul2 dikelilingi pokok2 getah, hingga ia menutupi cahaya bulan. Rumahnya bukan seperti rumah2 kampung yang pernah kita lihat. Rumahnya dibina tinggi dari tanah. (saya lampirkan gambarnya sekali.)



Dipendekkan cerita, malam itu saya tak dapat tidur. Jam menunjukkan jam 10 malam. Penjana elektrik telah dimatikan untuk menjimatkan disel dan kami cuma menggunakan lampu colok sahaja. Isteri saya dan kakak ipar serta anaknya sudah tidur, cuma saya dan abang ipar saya masih duduk di luar berbual-bual. Tak sedar kami berbual hampir masuk jam 12 tengah malam. Sedang kami berbual, tiba-tiba abang ipar saya sentuh bahu saya dan menyuruh saya diam. Tiba tiba abang ipar saya sebut ayat-ayat ini, "KAREPE SAMPEYAN MENOPO? LUNGO WAE SAMPEYAN SAKING MRIKI!"

Dia berbual dalam bahasa Jawa halus. Kalau tidak silap saya dia berkata, "APA YANG KAMU MAHU? PERGI KAU DARI SINI!" Meremang saya dibuatnya kerana dia berbual dengan sesuatu yang saya tidak nampak. Dia berbual ke arah hadapan pohon2 getah. Dia berbual seperti menghalau sesuatu. Tiba-tiba saya tersentak dan beristighfar. Baru saya nampak dengan siapa atau lebih tepat lagi dengan apa dia berbual. Baru saya nampak susuk tubuh sesuatu yang saya tak pasti. Apa yang saya nampak makhluk ini memeluk pokok getah seperti memanjat sambil mendongak melihat ke arah kami cuma ia tidak begerak. Raut wajahnya saya tak berapa nampak kerana jarak jauhnya dengan kami lebih kurang 10 meter. Tapi kelihatan dua biji mata yang merah berkilat. Makhluk ini tidak memakai apa2 pun di tubuhnya. Saya tergamam dan cuba membaca surah-surah yang saya tahu, tapi seakan mulut saya terkunci.

Saya rasa ingin lari masuk ke dalam tapi tak dapat mengerakkan anggota tubuh saya. Abang ipar saya tanya lagi kepada makhluk itu apa yang dia mahu. Makhluk itu tiba-tiba ketawa. Bunyi tawaannya seperti ada tiga suara dalam satu. Makhluk itu lalu berkata, "SIAPA MEREKA? APA MEREKA BUAT DI SINI?" lalu ia ketawa lagi. Abang ipar saya lalu membaca sesuatu. Sambil abang saya membaca, saya lihat makhluk itu dengan perlahan-lahan menyerap ke dalam pohon getah yang ia sedang memeluk dan lalu hilang dari pandangan mata kami. Sejurus itu angin kencang terus bertiupan lalu hujan ribut. Kami bergegas masuk.Saya bertanya kepada abang ipar apa yang telah kami nampak. Abang ipar saya menyuruh saya cuba tidur dan keesokan hari baru dia akan beritahu.

Pada keesokan hari selepas kami bersarapan, saya bertanya sekali lagi kepada abang ipar saya tentang hal semalam. Dia memberitahu saya bahawa makhluk yang kami nampak semalam kepunyaan majikan yang memiliki kebun getah itu. Makhluk itu menjaga kebun getah tuannya. Sebenarnya abang ipar saya terlupa untuk meminta izin terlebih dahulu dari majikannnya tentang kunjungan saya dan isteri saya. Kalau dia telah meminta izin, makhluk itu tak akan datang untuk mengganggu kami.

Itu saja kisah pengalaman saya sewaktu berada di tengah hutan di Palembang.