Free Search

Tuesday, January 13, 2009

Misteri kuasa dalam dan minda

Kuasa dalam yang ada pada manusia merupakan satu topik yang amat menarik sekali. Tidak semua orang menyedari kelebihan ini dan hanya segelintir sahaja yang tahu dan mungkin mencapai batas-batas luar biasa. Pendedahan kepada kemampuan-kemampuan paranormal yang di luar batasan logika semakin menghangatkan senario peradaban manusia di zaman yang serba canggih ini. Kebolehan luar biasa yang dipamerkan oleh segolongan manusia aneh yang nampaknya seperti memiliki kuasa supernatural semakin mendapat perhatian istimewa pihak-pihak tertentu termasuklah kerajaan (Malaysia mungkin tidak kot, tetapi entahlah…)

Filem-filem berkisarkan kekuatan superpower seperti Matrix, Jumper, X-Men dan sebagainya semakin menjadi pilihan media untuk ditayangkan. Malahan ia semakin merebak ke dunia animasi seperti Bleach, Naruto, Code Geass dan banyak lagi. Semakin hari semakin bertambah peminatnya. Kewujudan rancangan hiburan yang mengisahkan kekuatan super seperti ini sebenarnya diinspirasikan dari pendedahan-pendedahan tentang projek-projek Top Secret yang dibangunkan oleh agensi-agensi kerajaan tertentu, yang mana tujuannya untuk meneroka potensi luarbiasa manusia yang sering kita sebut sebagai kuasa minda, kuasa psikik atau apa sahaja sebutannya. Apakah ini salah satu tanda kemajuan utama manusia masa hadapan bukan bersifat material, tetapi lebih kepada penguasaan minda dan kekuatan-kekuatan terpendam dalam diri manusia yang seolah-olah memanggil-manggil kita untuk meneroka. Mungkin manusia lebih banyak meneroka angkasa lepas daripada meneroka potensi diri sendiri.

Mungkin anda mengatakan dizaman kecanggihan teknologi kita tidak lagi mempercayai perkara-perkara “karut” seperti ini. Ya.. mungkin anda betul, tetapi mungkin juga silap. Kadang-kadang kebenaran kelihatannya lebih pelik dari kebohongan. Kecanggihan teknologi nampaknya hanya memudahkan pihak-pihak tertentu melakukan kajian dengan lebih lancar, bukannya semakin mengenepikan. Banyak kajian-kajian membuktikan kewujudan kuasa luar biasa dan kebolehan paranormal, sekaligus membuatkan mereka yang skeptik terkedu tanpa nafas. Malah dengan kecanggihan teknologi pula mereka membina alat-alat bantuan untuk memudahkan manusia memanfaatkan kebolehan terpendam untuk pelbagai tujuan.

Tahukah anda badan korporat seperti Sony Corporation juga menunjukkan minat dalam lapangan kuasa minda? Pada tahun 1997, saintis Jepun, Yoichiro Sako telah membuat suatu kenyataan semasa perjumpaan Society of Scientific Exploration di Universiti of Nevada. Dalam syarahan beliau, Sony Corporation disahkan telah membiayai kos pengkajian lapangan ESP (Extra-sensory Perception), dan cuba untuk menemukan cara bagaimana untuk mengkomersialkan ESP ini. Semasa kenyataan ini dibuat, kajian tersebut yang dilakukan oleh pakar-pakar yang diketuai Yoichiro Sako, sudah pun berlangsung selama 7 tahun. Walaupun projek ini diberhentikan pada tahun 1998 kerana pihak Sony tidak menemukan jalan keuntungan dari sudut perniagaan, namun pasukan saintis berkenaan telah membuktikan bahawa ESP memang wujud!

Badan kerajaan juga nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan bidang supernatural, lalu membiayai banyak kajian-kajian secara sintifik. Lalu tertubuhlah projek rahsia “Perisik Psikik”.

Kerajaan Amerika mengakui bahawa pada tahun-tahun 1960an dan 1970an, mereka telah melakukan kajian tentang potensi kuasa psikik, dan telah melibatkan kos kira-kira USD 20 juta..! Agensi Risikan Pusat (CIA) juga didakwa mempunyai jabatan khas iaitu Jabatan Parapsikologi, yang mana telah banyak menjalankan ujian terhadap ahli-ahli psikik terkenal seperti Uri Geller, dengan harapan untuk mendapat pemahaman secara jelas tentang bagaimana kepekaan minda berfungsi sehingga boleh melihat menembusi dinding, melihat kejadian ditempat yang jauh (remote viewing), melihat kejadian masa akan datang dan sebagainya. Tidak dinafikan ini boleh memberikan kelebihan tertentu kepada sebuah agensi risikan.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan Amerika ini sebenarnya “reaksi” kepada laporan dari Russia yang memberitakan bahawa kehebatan program “Psychic Warfare” kerajaan Russia tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa barat. Fail-fail projek superpower milik kerajaan Russia yang penuh kerahsiaan itu sebenarnya telah berjaya didedahkan kepada umum sejak tahun 1950an lagi! Ini termasuklah pendedahan tentang makmal-makmal rahsia yang mana tujuan penubuhannya adalah untuk mengkaji kekuatan minda manusia serta potensinya dalam bidang perisikan, kawalan jauh terhadap benda-benda bersifat material dan juga potensi mempengaruhi orang lain secara jarak jauh!

Ini semua hanyalah fakta-fakta yang diperakui oleh kedua-dua kuasa besar dunia ini. Bagaimana pula dengan projek-projek atau kajian rahsia yang masih tersimpan rapi? Jika kerajaan Amerika dan Russia telah didedahkan menjalankan projek-projek kekuatan supernatural sejak tahun 1960an dan 1970an lagi, apakah rahsia-rahsia terbaru pada hari ini, yang tersembunyi dibelakang pintu yang terkunci rapat itu? Bagaimana pula dengan negara-negara yang lain? Adakah mereka hanya menjadi pemerhati?

Dikhabarkan bahawa saintis-saintis terkemuka dunia sekarang ini sedang berhempas pulas mengkaji bagi menemukan cara untuk melampaui batasan kekuatan kuasa minda (kita masih diperingkat pengenalan, mereka dah nak menerobos batasan ( ). Walaupun berkali-kali dinafikan bahawa projek ini sedang dijalankan, namun jika dipertimbangkan fakta-fakta masa lalu, adalah munasabah jika dikatakan bahawa kuasa-kuasa besar dunia tertentu, membiayai kos projek rahsia ini, yang mana ianya bertujuan untuk mewujudkan kekuatan baru iaitu “Perisik Psikik” yang bukan sahaja boleh mengakses pelbagai dimensi, tetapi juga mampu memanipulasikannya untuk merisik, mengawal, mempengaruhi, mencederakan malahan membunuh.

Perkembangan kajian psikik atau kuasa supernatural hari ini sudah jauh dari hanya sekadar telepati, telekinesis, hipnosis, subliminal message dan sebagainya yang mana tidak terikat dengan hukum fizik, malahan adakah mungkin sudah sampai ketahap mengubah dan memanipulasi hukum itu sendiri? Atau mungkin sudah dapat mengubahsuai struktur atom dengan hanya mengunakan kekuatan minda semata-mata? Boleh jadi mereka telah dapat meningkatkan kekuatan minda mereka ke tahap yang tidak mampu untuk kita gambarkan. Disaat kita masih berbolak balik tentang ilmu kebal, mungkin mereka sudah mampu membuat ledakan sekuat bom atom hanya bersumberkan udara. Disaat kita masih bertekak membahaskan sama ada kekuatan mindakah atau kekuatan jin, boleh jadi mereka telah maju ke tahap mampu melakukan penguraian atom.

Persoalannya di manakah kita? Mungkin kita lebih mempercayai tentang UFO jika dibandingkan kekuatan psikik. Mungkin menonton filem-filem seram lebih “menyeronokkan” daripada menonton dokumentari tentang keanehan kuasa minda. Mungkin mengikuti perkembangan siapakah menjuarai Akademi Fantasia atau Malaysian Idol lebih mengujakan daripada berdiskusi tentang potensi keupayaan otak. Mungkin kita lebih asyik mendengar betapa melankoliknya lagu-lagu percintaan dari pemuzik-pemuzik tanah air daripada mendengar syarahan-syarahan berbentuk ilmiah. Timbang-timbangkanlah sendiri…

Dipetik dari
http://idotpearl.wordpress.com

1 comment:

Anonymous said...

Happy Wednesday! Bloghoppin' here... Hey, I have an interesting tutorial for you that I have written myself. It is about adding Adsense on your Single Post in XML template. I hope you'll like it! God Bless you!