Free Search

Tuesday, January 25, 2011

Api misteri hantui keluarga Zainab

Sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas di sini hidup dalam keresahan dan ketakutan selepas diserang api misteri dan disusuli dengan beberapa kejadian aneh sejak 10 bulan lalu.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut menyaksikan sendiri api misteri itu muncul tiba-tiba lalu menyambar tuala kecil dalam almari di salah sebuah bilik di rumah berkenaan kira-kira pukul 3 petang ini.

Keadaan itu menyebabkan hampir 10 orang yang berada di dalam rumah berkenaan tergamam sebelum bingkas memadamkan api tersebut.

Pemilik rumah itu, Zainab Sulaiman, 73, berkata, sebelum api misteri muncul Isnin lalu, rumahnya sering dilanda pelbagai kejadian aneh.

Antaranya wang RM2,000 hilang daripada simpanan, beras dimasukkan pewarna merah dan budu manakala pakaian digunting.


ZAINAB Sulaiman melihat serangan api misteri yang sempat dirakam oleh jurugambar di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu

"Ketika wang hilang sedikit demi sedikit dan beras yang dimasukkan budu serta pewarna berlaku, kami sekeluarga mengambil sikap tidak peduli.

"Bagaimanapun sejak tiga hari lalu keadaan menjadi semakin serius apabila api misteri menyambar di semua kawasan dalam rumah ini.

"Sehingga kini lebih 200 helai pakaian milik saya serta menantu dan cucu hangus terbakar malah dua buah tilam turut terbakar, biarpun kami cuba memadamkan api tetapi ia tetap muncul kembali," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Zainab yang tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu berkata, kemunculan api seperti itu tidak pernah berlaku di rumahnya malah dikatakan pertama kali terjadi di kampung berkenaan.

Dia yang tinggal bersama menantu serta tiga cucunya berkata, secara purata api misteri itu muncul sekurang-kurangnya lima kali sehari sehingga menyebabkan mereka sekeluarga bingung.

"Kami dah buntu. Serangan tanpa henti api itu menyebabkan kami sekeluarga tidak tidur tiga hari, takut-takut kalau tidak sempat selamatkan barang.

"Hari ini serangan bermula pukul 11 pagi apabila api misteri menyambar baju kurung cucu saya, Wan Norfatihah Wan Hanafi, 13. Kira-kira 10 jiran saya datang membantu memadamkan api itu," katanya.

Menurutnya, apa yang lebih mengejutkan, wang RM30 milik menantunya, Rafiah Zakaria, 38, yang hilang ditemui semula di beberapa lokasi berasingan serta salah satu daripadanya tertera nama Rafiah.

Sehubungan itu, dia memohon sesiapa yang mempunyai kebolehan membantunya menghentikan serangan api misteri tersebut.

Sunday, January 9, 2011

Pelajar rakam imej pelik

Keasyikan seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam merakamkan wajah sendiri pada waktu maghrib menggunakan telefon bimbit akhirnya memberi suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakannya.

Remaja berkenaan, Safura Zakaria, 19, secara tidak sengaja merakamkan imej pelik dan ganjil di rumah neneknya di Kampung Pengkalan Batu, di sini Jumaat lalu.


IMEJ seolah-olah lembaga hitam tanpa muka sedang merenung dirakamkan secara tidak sengaja oleh Safura

Menurutnya, semasa merakamkan gambar tersebut dia langsung tidak menyedari kehadiran lembaga seperti seorang wanita tanpa wajah berpakaian serba hitam itu kerana terus keluar bersiar-siar ke bandar Mersing.

"Apabila pulang semula ke rumah kira-kira pukul 11 malam, saya membuka telefon bimbit untuk melihat kembali gambar tersebut dan ternyata imej di dalamnya mengejutkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Safura berkata, dia kemudian memberitahu kejadian aneh tersebut kepada neneknya, Salamah Arshad, 70, sebelum mereka cuba merakam kembali gambar dengan kedudukan sama dengan menjadikan anak saudara lelaki berusia tujuh tahun sebagai objek seperti yang terdapat gambar berkenaan.

Namun, katanya, rakaman dengan kedudukan yang sama ternyata tidak membawa hasil seperti gambar terdahulu kerana rupa paras anak saudaranya itu jelas kelihatan tidak seperti lembaga tersebut.

"Gambar dalam telefon bimbit itu, seolah-olah satu lembaga tidak berwajah serta tanpa kaki sedang melihat ke arah saya yang menghadap cermin muka.

"Sebaik sahaja berita ini tersebar, ramai saudara-mara dan rakan-rakan yang berkunjung melihat rakaman tersebut dan memindahkannya ke telefon bimbit mereka," katanya.

Sementara itu, neneknya, Salamah memberitahu, kejadian aneh tersebut adalah yang pertama berlaku di rumah tersebut yang telah didiami sejak 20 tahun lalu.

"Entahlah, nenek tidak tahu teknologi telefon sekarang, tetapi apa yang pasti gambar tersebut seolah-olah satu lembaga aneh sedang berdiri di belakang Safura," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Mersing, Zakaria Tahir ketika diminta mengulas berhubung gambar tersebut berkata:

"Allah menjadikan malaikat, jin dan syaitan sebagai makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia, namun ia boleh menyerupai atau menjelma dengan pelbagai bentuk.

"Apa yang penting sebagai manusia yang beriman kepada Allah S.W.T, kita tidak perlu taksub dan takut dengan kejadian aneh yang belum tentu kesahihannya itu sehingga boleh menjejaskan akidah," katanya.

Sunday, December 26, 2010

Kereta berat ditumpang pontianak

Dari : http://halaqah.net

Enjin mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60km

MENGHABISKAN cuti hujung minggu di Bukit Fraser, Raub, Pahang sudah jadi amalan Ghazli dan Fazlin (buka nama sebenar) serta tiga anak mereka sejak setahun lalu.

Kerjaya Ghazli sebagai pemuzik dan isterinya, penulis sesuai dengan suasana semula jadi yang ditawarkan kawasan pelancongan berbukit di Banjaran Titiwangsa ini.

Selain suasana alam semula jadi yang masih tidak dicemari pemodenan yang rencam, Fazlin cukup mengagumi suasana perkampungan seolah-olah di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.

Banyak kali juga suami isteri ini mendengar cerita seram, pelik dan misteri yang dialami pelancong yang bertandang, maklumlah kebanyakan banglo serta hotel yang ada sedia wujud seawal era kolonial lagi, namun itu semua tidak pernah menjadi penghalang.

Bukit Fraser menyimpan pelbagai sejarah perjuangan orang Melayu sewaktu menentang penjajah Inggeris sejak 1917 hingga ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Antara kisah misteri yang pernah menyelubungi Bukit Fraser, termasuk pencarian seorang paderi Kristian dari Singapura pada 1917, Bishop C.J. Ferguson yang berjaya menemui ‘Bukit Fraser’ selepas berhari-hari mencari rakannya, seorang pelombong bijih timah, Louis James Freser yang dilaporkan hilang di dalam hutan itu.

Kerajaan Inggeris percaya Freser mati dimakan binatang buas atau dibunuh Orang Asli dan tubuhnya menjadi makanan mereka. Begitupun versi yang boleh diyakini menyatakan Freser dibunuh pejuang Melayu yang menentang Inggeris.

Memang sudah tertulis, setiap apa yang berlaku ada sebab tersendiri. Terpulang kepada manusia dan insan di bumi Allah SWT untuk mengambil iktibar.

Kali ini Ghazli dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan iaitu hampir Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser dalam suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika berselisih kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu berlaku sukar juga hendak mendapatkan bantuan.

Nekad meneruskan perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi kawasan tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu yang tidak kena dengan kereta yang dipandu.

Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.

Fazlin sendiri tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula senyap dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum ini, tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli menekan pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta baru dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.

Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.

Jangka waktu 20 minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan sesal dan bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa mereka sekeluarga.

Sebaik melepasi selekoh lokasi tragedi Sir Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba meluncur laju. Tiada lagi bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar. Ghazli dan Fazlin masih membisu sehinggalah mereka tiba di menara jam di tengah pekan Bukit Fraser.

“Nampak tak apa yang saya nampak?” kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin dengan wajah pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.

“Benda tu terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap ke dalam hutan dekat selekoh tadi...” kata Ghazli lagi sambil meraut muka dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang dikenali sebagai pontianak.

“Patutlah abang diam semacam saja, rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga. Barulah saya faham kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah waktu Maghrib, inilah mungkin sebabnya.”

Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.