Free Search

Wednesday, September 24, 2008

Misteri Di Sebalik Kematian Seorang Polis

Kisah benar yang diceritakan oleh : Ustaz Haji Zainal Abidin Abdul Karim

Sebaik sahaja selesai dimandi dan muka Arwah dilap, mata saya terpaku menatap wajahnya. Seperti tidak percaya bahawa sesuatu yang amat luar biasa berlaku di hadapan mata saya.

Dengan kekuasaan Allah Yang Maha Agung dan Maha Besar, wajah Arwah yang sudah berusia 60-an tiba-tiba bertukar menjadi seperti wajah yang berusia 30-an. Kulitnya yang seketika tadi berkedut bertukar menjadi tegang. Raut wajahnya memang memikat sementara senyumannya cukup manis seolah-olah Arwah meninggalkan dunia yang fana ini dengan hati yang seronok

Lama saya terpegun menatap wajah Arwah. Cukup hebat kekuasaan Allah swt hingga dalam waktu beberapa detik sahaja wajah yang sudah berkedut diubah-Nya menjadi kembali muda dan tampan. Saya terus menatap wajah dari hujung rambutnya hingga ke hujung dagu dengan rasa yang amat kagum di atas kebesaran Allah swt dan kemuliaan Arwah.

Tanpa disedari, orang semakin ramai dan berpusu-pusu menziarahi Arwah. Seperti saya, mereka juga berebut-rebut untuk menatap wajah Arwah. Dan seperti saya juga, setiap mata yang memandang Arwah pasti akan terus terpaku kepadanya. Sebilangan besar mereka juga tertanya-tanya, benarkah jenazah yang terbaring di hadapan mereka itu adalah Allahyarham.

Eh, betul ke bapa awak yang meninggal dunia ? Bukan adik ? Tanya salah seorang daripada mereka yang nyata tidak dapat mengecam wajah Arwah.

Betul, itu ayah saya, jawab anak Arwah. Bukan dia seorang, malah kebanyakan yang menziarahi Arwah juga begitu. Keseronokan segera terpancar di hati kami. Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan jenazah, saya seperti tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan pengurusan jenazahnya. Sementara keluarga, saudara-mara dan orang ramai yang menziarahi Arwah terus ingin menatap wajah Arwah.

Walaubagaimanapun, yang pergi perlu diuruskan juga. Jenazah Arwah kemudiannya dikapan dan seterusnya dikebumikan. Sepanjang urusan tersebut, suasana cukup tenang, aman dan menyeronokkan. Tidak ada sebarang masalah yang kami tempuhi, malah orang ramai seperti berebut-rebut ingin membantu urusan pengkebumian jenazah arwah.

Kembali dari pengebumian Arwah, fikiran saya terus menerawang mengingati kemuliaan Allah swt berikan kepada jenazah Arwah. Begitu sekali balasan yang Allah swt berikan kepadanya.

Namun bagi kami yang mengenali Arwah, memang layaknya dia diberikan kemuliaan sedemikian rupa kerana semasa hidupnya, Arwah memang seorang yang bertaqwa. Riwayat hidupnya dipenuhi dengan amal ibadah, bukannya perbuatan-perbuatan mungkar.

Arwah adalah bekas pesara polis yang bertugas di Bahagian Perhubungan Awam, salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Arwah sangat dihormati kerana beliau merupakan seorang yang pemurah dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Tugasnya sebagai pegawai polis digunakan sepenuhnya bagi membantu orang ramai.

Arwah tidak pernah berkata ‘tidak’ bagi setiap orang yang meminta pertolongan, walaupun mereka datang pada jam 2 – 3 pagi. Dikejutkan pada waktu tengah malam dan dinihari ketika di luar tugas juga adalah perkara biasa bagi Arwah dan setiap tetamu yang datang disambutnya dengan muka yang manis.

Ketika orang lain sedang nyenyak tidur , dipeluk kedinginan pagi dan dibuai mimpi, arwah bersengkang mata membantu orang yang datang meminta bantuannya. Dia tidak pernah merungut malah bersedia membantu mereka dengan hati yang gembira.

Selain Arwah, isterinya juga bersikap demikian. Mereka berdua tidak pernah lekang daripada membuat amal jariah, membantu anak-anak yatim dan pelajar-pelajar universiti dengan mengambil mereka sebagai anak angkat. Anak yatim dan anak angkat yang mereka pelihara telah berjumlah puluhan orang.

Melakukan kebaikan bukanlah satu perkara yang mudah. Pasti ada sahaja orang yang iri hati dan berprasangka buruk. Walaupun bermacam-macam tomahan dan kata-kata yang cuba melemahkan semangat, namun mereka tidak mengambil peduli. Malah dia tetap seperti biasa membantu orang yang memerlukan pertolongannya.

Bagi Arwah, menghulurkan bantuan lebih besar nilainya daripada wang ringgit. Arwah juga tidak berkira langsung dari segi wang ringgit hinggakan jika tidak mempunyai wang, Arwah sanggup meminjam daripada anak-anak atau isterinya. Ini merupakan satu pengorbanan yang amat besar demi membantu insan lain. Gaji Arwah bukanlah besar, tanggungannya juga bukan ringan, namun Arwah tidak pernah menunjukkan kesusahannya kepada orang lain.

Selain itu, Arwah juga dikenali masyarakat sebagai seorang yang warak. Beliau adalah merupakan seorang imam surau semasa hayatnya.

Walaupun sudah beberapa tahun Arwah pulang menghadap Ilahi, namun sehingga kini orang masih menyebut-nyebut tentang kebaikannya. Anak-anak angkat Arwah juga masih datang ke rumahnya, bermalam sewaktu cuti dan berhari raya bersama keluarga di situ. Jangan menganggap keakraban itu sebagai biasa kerana sebilangan daripada anak-anak angkat Arwah berasal dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri yang dari ibu kota ini.

Kemuliaan yang Allah swt berikan kepada Allahyarham itu mengingatkan saya bahawa di dalam syurga nanti tiada orang-orang yang tua. Semua penghuni syurga muda-muda belaka, tampan, cantik dan menawan. Adakah iktibar ini yang ditunjukkan oleh Allah swt menerusi keajaiban yang berlaku ke atas jenazah Arwah ?

Walaupun peristiwa itu berlaku lima tahun yang lalu, namun kesempatan menguruskan jenazah Arwah adalah satu kepuasan kepada saya. Itulah pengalaman paling menarik sepanjang penglibatan saya sebagai sebagai pengurus jenazah. Ia sungguh bermakna dan memberi keinsafan kepada diri saya.

TQ http://kedah2u.com

Friday, September 19, 2008

Rahsia Zikir

Otak menjalankan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Tuesday, September 16, 2008

Roh Merayau Gara2 Mengumpat

Milah memang terkenal dikalangan penduduk kampung. Setiap petang dia akan duduk berlonggok di tangga rumah jirannya sambil mengata orang kampung. Ada saja cerita baru yang dijajanya sehingga tidak menyedari senja meremang. Mulutnya tetap becok biarpun azan Maghrib berkumandang di masjid berhampiran kampung sedangkan di saat itu sebagai hamba-Nya, kita sepatutnya sujud menyembah Ilahi.

Suaminya, Osman sudah jenuh mulut menegur kelakuannya itu. Bukan saja menimbulkan fitnah tetapi tidak baik untuk bayi dalam kandungan kerana dia sedang mengandung tujuh bulan. Kata orang tua-tua, hantu syaitan banyak berkeliaran waktu senja.

Sikap degil Milah sudah Osman faham benar kerana sejak kahwin, Milah kerap melawan cakapnya. Setelah tujuh tahun mereka berkahwin, inilah kali pertama Milah mengandung. Biarpun ini kandungan pertamanya, tapi Milah tidak membuat penjagaan rapi seperti yang disarankan doktor. Bukan Osman melarang isterinya duduk berbual tapi biarlah berpada, jangan sampai keterlaluan hinggakan senja meremang pun dia masih duduk berborak di tangga rumah jiran-jiran.

Ada juga orang kampung menegur perlakuan isterinya dan Osman juga sudah puas menasihatinya tetapi umpama mencurah air ke daun keladi. Sikap isterinya tetap tak berubah dan lama kelamaan, dia buat tak reti.

Maka sukalah Milah kerana tabiatnya sudah tiada yang ambil peduli. Maka rancaklah, dia duduk berlonggok di tangga rumah jiran sambil mengata itu dan ini. Kebetulan, ada teman-teman yang menyokong, rancaklah kegiatan itu.

Sebulan sebelum melahirkan, sikap Milah nyata berubah. Dia lebih gemar menyendiri dan ketika kawan-kawannya datang ke rumah, mulutnya tidak lagi becok bercerita seperti selalu. Memang ramai yang hairan dan suaminya turut pelik dengan sikapnya itu tetapi dia tidak bertanya lanjut, malah memanjatkan rasa syukur kerana isterinya sudah berubah.

Suatu malam, Milah merasakan perutnya terlalu sakit. Malah dilihatnya ada darah yang mengalir di celah pahanya. Segera dia mengejutkan suaminya dan tergesa-gesa mereka ke hospital. Sesampai di hospital, doktor membuat pemeriksaan dan mendapati rahimnya sudah terbuka empat sentimeter. Milah tidak dibenarkan balik pada malam itu sebaliknya dia ditahan di hospital kerana menurut doktor, dia akan bersalin. Osman juga tidak mahu menanggung risiko dan dia bersetuju kerana dia sudah tidak sabar untuk menimang anak setelah tujuh tahun berkahwin.

Kurang dari 12 jam, Milah merasakan sakit perutnya makin kerap, sakit pinggang dan segala-galanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Berkali-kali dia menjerit meminta tolong daripada jururawat bertugas. Sekali dua mereka melayan karenahnya tetapi lama kelamaan mereka hanya mampu menyuruhnya bersabar sahaja.

Kira-kira jam tujuh pagi, sakit yang Milah tanggung sudah tidak tertahan lagi. Dia segera dibawa ke bilik bersalin kerana pintu rahimnya sudah terbuka lapan sentimeter. Jururawat menyuruhnya meneran kerana kepala bayinya sudah kelihatan. Berkali-kali Milah cuba melakukannya malah tenaganya hingga kehabisan. Melihat keadaannya yang tidak bermaya, jururawat 'memasukkan air' dan setengah jam kemudian doktor melakukan kaedah vakum bagi menyelamatkan nyawa bayinya yang hampir lemas.

Malangnya Milah meninggal dunia kerana urinya tersangkut di dalam rahim. Mereka sedaya upaya menyelamatkannya, tapi benarlah Allah lebih menyayangi makhluknya. Maka menangislah Osman kerana isteri yang disayanginya meninggal dunia. Dia sendiri terkeliru bagaimana untuk mahu menjaga anak lelaki tunggalnya, Muhammad Hakimi tanpa kehadiran seorang isteri. Puas keluarga dan sanak saudara menasihatinya dan mereka berjanji akan menjaga anaknya bersama-sama.

Jenazah isterinya selamat dikebumikan. Namun seminggu selepas itu, kampung tempat tinggal mereka gempar apabila kubur Milah digali. Nasib baiklah ketika itu, ada orang kampung terlihat tiga orang lelaki sedang memikul mayat Milah. Kala mereka menyergahnya, ketiga-tiganya lari lintang pukang dan meninggalkan mayat Milah di tepi kubur.

Gempar seketika orang kampung dan puas mereka bercerita tentang hal itu. Kata orang, kubur Milah dikorek untuk dipuja dan mahu dibuat minyak dagu. Segera mereka mengebumikan semula mayat Milah. Maka bertambahlah kesedihan Osman kerana orang memperlakukan jenazah isterinya sebegitu.

Namun seminggu selepas itu, sekali lagi orang kampung gempar. Kali ini bukan kuburnya dikorek tapi orang melihat kelibat Milah duduk di rumah jiran di waktu senja, sama seperti perangainya yang suka bertandang ke rumah orang ketika mengandung dulu. Sekali lagi, Osman rasa terpukul dan dia mendapatkan nasihat daripada seorang Lebai di kampung mereka.

Kata Lebai itu, ini mungkin balasan Allah kerana perbuatannya yang suka mengumpat orang dan tidak sempat meminta maaf daripada orang kampung apatah lagi meninggal dunia sebaik bersalin. Bagaimanapun Lebai menasihatkan Osman agar banyak bersabar di samping berdoalah agar Tuhan mengampunkan dosa-dosa isterinya. Benarlah kata orang, jangan sesekali melakukan dosa kerana di dunia Allah sudah menunjukkan balasannya, belum lagi balasan di akhirat dan diseksa di alam barzakh.