
Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama, iaitu balasan kepada manusia yang menderhakai ibunya.
Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular di kalangan masyarakat Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun. Golongan kanak-kanak sesuai didedahkan dengan cerita ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu juga perkara yang ditegah agama iaitu jangan derhaka kepada orang tua.

Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang. Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat, mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.
Serba sedikit mengenai cerita ini... Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.
Pada suatu hari, ketika sudah dewasa, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya kerana itulah peluang yang ada untuk mencapai cita-citanya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengan Si Tanggang kerana dia sangat rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkatnya. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Sultan amat menyukai akan Si Tanggang kerana bakat dan kepintarannya. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap dan dengan cara yang tidak sepatutnya seorang anak lakukan terhadap orang tua. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."

Apakah pengajaran yang dapat kita ambil dari cerita Si Tanggang? Kedua orang tua kita seharusnya kita layan dengan baik. Walaupun mungkin mereka sudah tua dan miskin, janganlah kita memandang mereka dengan sebelah mata. Semasa kita masih bayi, kita telah dijaga dan dibelai dengan sepenuh kasih sayang sehingga kita dewasa. Tanpa mereka mana mungkin kita boleh melihat dunia yang serba indah ini. Doa yang dilafazkan dari mereka penuh dengan keberkatan. Sayangilah mereka sementara mereka masih ada dan jika mereka sudah tiada, hadiahkanlah pahala untuk mereka. Semoga anak-anak kita juga akan mencontohi apa yang kita lakukan itu.